Tugu Negara

Tugu Negara

Wednesday 25 March 2015

ZAMAN PENJAJAHAN DI TANAH MELAYU

ZAMAN PENJAJAHAN DI TANAH MELAYU



Sejarah Malaysia dikatakan bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1400 Masihi. Pada masa kegemilangannya, wilayah kesultanan ini meliputi sebahagian besar Semenanjung dan Pantai Timur Sumatera. Melaka muncul sebagai sebuah kerajaan yang gemilang kerana kedudukannya yang strategik iaitu titik pertemuan antara Asia Timur dengan Asia Barat. Keadaan ini membolehkan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan utama khususnya bagi perdagangan rempah di Asia Tenggara. Islam pula muncul sebagai agama utama yang tersebar dan menjadi anutan utama penduduk Melaka kerana rajanya sendiri telah memeluk agama tersebut.

Pada tahun 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis dan bermula daripada tahun inilah Tanah Melayu berada dalam era penjajahan. Selepas itu, Tanah Melayu jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641 dan akhirnya jatuh pula ke tangan British pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. Penjajahan British merupakan penjajahan paling lama. British telah mencampuri semua urusan pentadbiran Tanah Melayu yang sebelum ini diuruskan oleh Raja-Raja Melayu dengan bantuan pembesar-pembesar negeri. Campur tangan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan. Pada 1867, Inggeris menjadi semakin agresif dan mula mendapatkan negeri negeri Melayu yang lain. Disebabkan perang saudara, gangguan persatuan sulit Cina, Britain telah dipilih untuk menyelesaikan masalah masalah penduduk Negeri Selat. Akhirnya, Perjanjian Pangkor ditandatangani yang mengakibatkan perluasan kuasa Britain ke negeri negeri Melayu (iaitu Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikenali juga Negeri-negeri Bersekutu). Negeri-negeri lain yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Tidak Bersekutu ialah Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganuyang berada di bawah kuasa Thai.

Di Borneo pula, Borneo Utara yang dahulunya berada di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu sekarang Sabah) telah berada dibawah pajakan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British pada tahun 1881 sehingga 1946 apabila ia ditabalkan sebagai Koloni Diraja British. Manakala Sarawak menjadi milik keluarga Brooke sebelum dari itu.

Akibat penaklukan Jepun pada Perang Dunia II dan kebangkitan komunis, kesedaran untuk merdeka semakin menyerlah dan kuat. Perkara ini amat dikhuatir oleh British khususnya dalam menjaga kepentingannya dan masyarakat imigran. justeru British mewujudkan Malayan Union, masyarakat Melayu bangun menentang dan mahukan sistem yang pro-melayu, menolak kemasukan Singapura dan mahukan sistem kewarganegaraan tunggal (berbanding dwiwarganegara, yang membolehkan kaum pendatang mendapat status warganegara Malaya dan negara asal mereka). Kemerdekaan untuk semenanjung diperolehi pada 1957 di bawah nama Persekutuan Malaya, tanpa Singapura.

Beberapa individu bangkit menentang penjajah namun oleh kerana usaha mereka lebih kepada bersifat perseorangan maka penentangan tersebut dengan mudah dipatahkan oleh British. Antara tokohyang bangun menentang penjajah ialah Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Rentap, Datuk Maharajalela, Rosli Dobi dan beberapa tokoh yang lain.




                                                        
Rosli Dhobi




Dol Said




Datuk Maharajalela


Huraian Secara Ringkas.


Sejarah penjajahan di Tanah Melayu bermula dengan zaman pembentukan kerajaan kesultanan melayu Melaka. Kesultanan melayu Melaka diasaskan oleh seorang putera dari Palembang iaitu Parameswara di antara tahun 1400 hingga tahun 1403. Pada awalnya Melaka bukanlah sebuah kerajaan Islam. Hal ini berubah pada tahun 1409 apabila Parameswara berkahwin dengan puteri dari Pasai. Agama Islam dijadikan sebagai agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka oleh Sultan Muzaffar Syah. Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka berterusan selama lebih satu abad sehinggalah Melaka tewas di tangan penjajah Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque pada 1511. Sultan Mahmud Shah merupakan sultan terakhir Kesultanan Melayu Melaka. Pada 1528, seorang putera baginda Sultan Alauddin Riayat Shah II menubuhkan Kesultanan Johor bagi mewarisi Kesultanan Melaka. Selepas Melaka menjadi salah satu pusat perdagangan yang utama dan maju, maka bermulalah penjajahan di bumi Melaka oleh Portugis. Orang Portugis adalah bangsa Eropah yang pertama datang ke Timur dan tiba ke Melaka dengan tujuan kedatangan mereka berkaitan dengan perdagangan rempah. Permintaan rempah sangat tinggi di Eropah. Rempah selalunya digunakan untuk mengawet makanan dan menambahkan kelazatannya dan mereka datang ke Timur sebab mahu mendapatkan rempah terus dari Kepulauan Melayu. Ketika itu perdagangan rempah ini dimonopoli oleh saudagar Islam dan Portugis ingin memecahkan monopoli perdagangan rempah yang dikuasai oleh saudagar Islam sejak sekian lamanya. Tambahan pula, orang Portugis telah lama memusuhi orang Islam sejak mereka kalah dalam Perang Salib pada kurun ke 12 dan mereka ingin meneruskan peperangan tersebut dan ingin menghancurkan kerajaan Islam di Timur serta menyebarkan ajaran Kristian. Raja Portugal juga menggalakkan rakyatnya melakukan pengembaraan ke seluruh dunia dan menghantar rombongan untuk mencari jalan laut ke Timur. Pada tahun 1498, Vasco da Gama telah sampai ke India dan mereka berjaya menakluki Goa dan menjadikannya sebagai pusat operasi di Timur. Ini diikuti dengan kedatangan rombongan Lopez de Sequeira ke Melaka pada tahun 1509. Melaka masih menjadi pusat perdagangan dan penyebaran Islam yang terkenal ketika angkatan laut Portugis diketuai Lopez de Sequira tiba di situ. Ianya telah diarahkan oleh Raja Manuel untuk mendapatkan pangkalan Portugis di Melaka. Pada mulanya rombongan Portugis itu disambut baik oleh Sultan Mahmud dan dibenarkan berniaga. Tetapi keadaan ni kemudian berubah apabila saudagar Islam dari India telah menasihatkan Bendahara Tun Mutahir supaya berhati-hati dengan orang Portugis yang di anggap musuh Islam. Bendahara telah memujuk Sultan Mahmud supaya bertindak ke atas orang Portugis. Baginda akhirnya memerintahkan semua orang Portugis ditangkap dan ditahan termasuk seorang pegawai kanan rombangan tersebut iaitu Ruy de Araujo. Bagaimanapun, beberapa orang daripada rombangan itu telah terbunuh dan ada yang dapat melarikan diri ke Goa termasuk ketuanya Lopez de Seqeuira. Peristiwa tersebut telah memberi sebab dan peluang kepada Portugis untuk menyerang Melaka. Walaupun Melaka aman dan makmur, beberapa pergolakan dalam istana yang telah menyebabkan kelemahan pentadbirannya. Apabila berita penahanan rombongan Portugis di Melaka sampai ke Goa & Lisbon, Wizurai (Viceroy-wakil/gabenor untuk Raja) Portugis di Goa, Alfonso d’ Albuquerque telah menyiapkan angkatan perang untuk menyerang Melaka. Raja Portugal menghantar sepasukan tentera laut di bawah pimpinan Diego Mendez untuk tujuan yang sama dan angkatan tentera ini telah bergabung dengan angkatan tentera Alfonso menjadi angkatan perang yang besar. Portugis telah  menyerang Melaka pada tahun 1509 dan 1511 dan dalam tempoh ini Melaka tidak mempunyai kubu yang kuat di samping sukar menandingi alat-alat senjata Portugis yang lebih canggih dan moden. Secara keseluruhan, Portugis telah menduduki Melaka selama 130 tahun iaitu dari 1511 ke 1641. Wizurai (Viceroy) yang bertanggungjawab menyusun sistem pentadbiran Portugis di Melaka adalah Alfonso d’Albuquerque. Portugis mengamalkan sistem pentadbiran berbentuk ketenteraan. Ketuanya digelar Kapten Kota Melaka yang dilantik oleh Raja Portugal untuk bertugas selama 3 ke 4 tahun. Beliau dipilih dari kalangan golongan Fidalgo iaitu golongan bangsawan Portugal. Seorang Kapten Angkatan Laut juga dilantik sekaligus sebagai timbalan kepada Kapten Kota. Golongan tentera diketuai oleh Kapten Jeneral dan dibantu oleh golongan Feitor. Kapten Kota dan timbalannya akan dibantu oleh Majlis Penasihat terdiri daripada 3 badan utama iaitu:- Hal Ehwal Militer, Majlis Pentadbiran Sivil dan Kewangan serta Pentadbiran orang tempatan. Selain itu, Tanah Melayu juga telah dijajah oleh Belanda.

Era penjajahan Portugis berakhir setelah 130 tahun menjajah Melaka dan bermula pula era penjajahan Belanda. Ekspedisi yang terawal tiba di Kepulauan Melayu pada tahun 1559. Pedagang Belanda amat berminat untuk berdagang di Kepulauan Melayu ini kerana hendak mendapatkan bahan-bahan rempah, buah pala dan cengkih. Ini telah mendorong pedagang-pedagang Belanda ini bergabung membentuk “Syarikat Bersatu Hindia Timur” pada 20 Mac 1602 yang digelar V.O.C. Tujuan utama penubuhan VOC adalah menguasai perdagangan rempah dan memonopoli perdagangan bijih timah.Mereka juga ingin menyingkir Portugis yang sedang bergiat dalam perdagangan di rantau Melayu. Pada tahun 1619, Belanda telah berjaya menguasai Betawi di Pulau Jawa. Betawi telah dijadikan pelabuhan perdagangan alternatif kepada pedagang-pedagang dunia selain Melaka.Untuk memastikan penguasaan Portugis di Asia Tenggara lenyap sama sekali, Belanda telah beberapa kali melancarkan serangan ke atas Melaka. Akhirnya mereka berjaya menewaskan Portugis dengan bantuan Kerajaan Johor iaitu kerajaan warisan dari Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1641. Kerajaan Johor pada ketika tu di bawah pemerintahan Sultan Abdul Jalil, pengganti Sultan Hammat Shah. Belanda cuba meluaskan pengaruhnya dalam perdagangan di negara ini dengan melampaui sempadan Melaka. Pada tahun 1650, Belanda cuba memonopoli perdagangan timah dengan Perak dengan mengadakan satu perjanjian. Walaubagaimanapun, penduduk tempatan mula menyedari sikap mereka itu.Persaingan perdagangan antara Johor dan Belanda sejak persahabatan mereka terjalin selepas kejatuhan Portugis di Melaka nampaknya menjadi seolah-olah “retak menanti belah”. Ini kerana telah mula timbul perasaan syak wasangka di antara satu sama lain dan mereka tidak senang dengan persaingan sebab ianya menjejaskan matlamat monopoli mereka.Keadaan ini akhirnya mencetuskan pertikaian yang melibatkan tindakan ketenteraan oleh pihak Belanda ke atas Johor pada akhir abad ke 18.

Di samping itu juga, Tanah Melayu jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641 dan akhirnya jatuh pula ke tangan British pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. Penjajahan British merupakan penjajahan paling lama. British mencampuri semua urusan pentadbiran Tanah Melayu yang sebelum ini diuruskan Raja-Raja Melayu dengan bantuan pembesar-pembesar negeri. Campur tangan British ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan. Beberapa individu bangkit menentang penjajah namun kerana usaha mereka lebih kepada bersifat perseorangan maka penentangan tersebut dengan mudah dipatahkan British. Antara tokoh yang bangun menentang penjajah ialah Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Rentap, Datuk Maharajalela, Rosli Dobi dan beberapa tokoh lain. Pada era 1920-an dan 1930-an, ramai penduduk Tanah Melayu mula mendapat pendidikan, sama ada dari Timur Tengah atau pendidikan tempatan. Hasilnya memberi sinar harapan untuk Melayu mentadbir sendiri negaranya. Muncullah golongan berpendidikan yang mula memperjuangkan semangat nasionalisme. Mereka menggunakan media seperti akhbar dan majalah untuk menyebarkan ideologi masing- masing. Ada dalam kalangan mereka membentuk persatuan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) yang bermatlamat mengusir penjajah dan membentuk kerajaan sendiri. Ketika rakyat negara ini begitu bersemangat untuk menamatkan penjajahan, mereka dikejutkan dengan pendaratan Jepun pada penghujung tahun 1941 yang menandakan bermulanya satu lagi era penjajahan di Tanah Melayu. Jepun menduduki Tanah Melayu sehingga tahun 1945 sebelum menyerah kalah ekoran pengeboman Hiroshima dan Nagasaki.

Pengunduran Jepun memberi ruang kepada Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menguasai Tanah Melayu. PKM bertindak ganas dengan membunuh dan memusnahkan harta benda awam dengan sewenangnya sehingga memaksa British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu (1948-1960). Keganasan PKM tidak berjaya menakluki Tanah Melayu dan British kembali berkuasa. Sekembalinya British selepas pendudukan Jepun, mereka cuba memperkenalkan Malayan Union. Pengenalan ini mendapat tentangan yang hebat dan menyeluruh daripada penduduk tempatan. Pada 11 Mei 1946, penubuhan Umno menyemarakkan lagi penentangan tersebut dan seterusnya menyemai bibit-bibit perjuangan ke arah berkerajaan sendiri. Kemunculan Tunku Abdul Rahman memberi sinar harapan kepada perjuangan penduduk Tanah Melayu ketika itu apabila tindakannya membentuk Parti Perikatan mula membuka mata British untuk membenarkan pendudukan Tanah Melayu mentadbir sendiri negaranya. Perpaduan antara tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India menampakkan hasil apabila Perjanjian London yang ditandatangani pada 8 Februari 1956 memberi petanda bahawa Tanah Melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957. Setelah kemerdekaan dicapai, timbul pula masalah berhubung dengan penubuhan Malaysia yang menggabungkan Sabah, Sarawak dan Singapura. Penentangan terhadap penyatuan ini datang daripada Parti Rakyat Brunei, Indonesia dan Filipina. Walau bagaimanapun hasrat untuk membentuk sebuah negara yang dinamakan Malaysia tercapai pada 16 September 1963. 

No comments:

Post a Comment